KOTA KINABALU 25 MAC: Kerajaan sepatutnya melibatkan semua pihak termasuk pembangkang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani isu pencerobohan di Lahad Datu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal berikutan Datuk Seri Najib Razak menolak cadangan Pakatan Rakyat untuk mengadakan sidang khas Parlimen berhubung tragedi itu.
“Ini soal keamanan dan kedaulatan negara. Tugas seorang Perdana Menteri menyeru semua pemimpin untuk sama-sama mempertahan negara,” katanya.
Ketua Umum KEADILAN itu turut mengkritik perbuatan pemimpin Umno BN yang kemudian memutar belit fakta pencerobohan menjadi isu politik untuk menyalahkan pembangkang.
“Bukan masanya cari kesalahan pihak lawan dalam masa begini tetapi harus tolak tepi perbezaan politik dan mencapai satu kata putus dalam sidang khas.
“Mana-mana pemimpin sesebuah negara yang diserang akan sama-sama cari kata putus terbaik. Malangnya, BN tolak pelawaan kita, kemudian tukar jadi permainan politik,” katanya.
Selain itu, Anwar mengulangi penafian terhadap tohmahan yang cuba mengaitkannya kepada pencerobohan di Lahad Datu berikutan nyanyian lagu ‘Tanya Sama Najib’.
Beliau kesal kerana pemimpin Umno BN turut memanipulasi pertemuannya dengan pemimpin Moro National Liberation Front (MNLF), Nur Misuari melalui satu gambar, semata-mata untuk menyebar fitnah.
Secara tegas, Anwar menyifatkan pemimpin Umno BN yang berbuat demikian sebagai pengamal politik fitnah dan kotor.
No comments:
Post a Comment