Monday 31 December 2012

Pemimpin akar umbi BN Sabah sokong Pakatan secara diam-diam



Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi oleh Pengerusi PPPS Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin menandatangai plug sebagai simbol pelancaran PPPS

KOTA KINABALU : Ramai pemimpin dan penyokong BN di peringkat akar umbi mula beralih sokongan kepada Pakatan Rakyat secara diam-diam.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka bimbang dengan tekanan dari pemimpin atasan BN jika menonjolkan diri menyokong Pakatan.
Ketua Umum KEADILAN itu, berkata mereka akan membuktikan sokongan melalui undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kelak.
“Menyertai Pakatan bukan sahaja merisikokan diri tetapi juga kaum keluarga mereka. Ini kerana Umno BN melabel orang yang tidak sehaluan sebagai pengkhianat.
“Sebab itu. kita hargai keputusan Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin yang tinggalkan jawatan demi kepentingan  Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran rasmi Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) semalam.
Landskap politik di Sabah berubah ketara sejak beberapa pemimpin utama BN di negeri itu mengisytihar sokongan terbuka kepada Pakatan.
PPPS dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) menjadi wadah bagi memastikan negeri yang kaya sumber alam tapi paling miskin di Malaysia itu, ditawan Pakatan pada PRU 13.
Anwar berkata, gelagat pemimpin utama BN secara tidak langsung mengakui Sabah bukan lagi fixed deposit  mereka pada PRU 13.
Katanya, situasi itu menyebabkan Perdana Menteri dan timbalannya, bergilir-gilir mengunjungi Sabah sejak pertengahan tahun lalu bagi meraih sokongan tapi gagal.
Dalam pada itu, beliau juga berharap tiada masalah pembahagian kerusi dan calon tidak termakan hasutan  BN yang cuba mengambil peluang memecah belah perpaduan sedia ada.
“Jangan berkira jika ada individu yang menonjol jadi calon kerana yang paling penting ialah hubungan baik di antara satu sama lain.
“Apabila kata putus sudah ada, saya ingin mengingatkan supaya jangan ada yang khianat,” katanya.
Selepas pelancaran PPPS, Anwar dan delegasi meneruskan perjalanan ke Sandakan untuk mengakhiri siri Jelajah Demi Rakyat selama dua hari di Sabah.

No comments:

Post a Comment