POSTER.....Poster pilihanraya ini mungkin beredar ketika hari penamaan calon kerana memprotes kepimpinan Samsudin, dari Warga Penyu kepada Menteri Pelancongan!
Oleh : MUTALIB M.D
PENUBUHAN Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) atas perkenan DYMM Yang DiPertuan Agong sewajarnya menjadi 'TELADAN' kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang sebelum ini dipalitkan dengan Skandal Hong Kong; turut dikait dengan kerakyatan songsang, sebagaimana Pengakuan Bersumpah yang dibuat oleh Setiausaha Task Force UMNO, Haji Jabar Khan Napi @ Yasser Arafat dalam buku 007-Lelaki Malaysia Terakhir?
Walaupun kenyataan Jabar Khan boleh dicabar kerana hanya bermodalkan 'Hear Say', 'bermodalkan dendam' dan tidak mempunyai sekelumit bukti yang melampaui keraguan munasabah berhubung penglibatan Musa Aman dalam Ops Gembleng 1991; (Kerakyatan Songsang) sama ada minit mesyuarat atau arahan bertulis.
Namun dalam kes Adun Sekong, Datuk Haji Samsudin Yahya; begitu jelas sekali Musa boleh dituduh melindungi dan memberi suaka politik kepada Samsudin, salah seorang 'Bupeka' (Budak Pengilap Kasut) yang terkenal; sedangkan secara sedar, Musa tahu bahawa Samsudin memperoleh kerakyatan songsang dan menjadi umang-umang dengan menjaja nama keluarga TYT sekarang, Tun Juhar Mahiruddin.
Jika Samsudin boleh lepas bebas daripada siasatan RCI, sebagaimana lolosnya Mantan TYT Sabah, Tun Sakaran Dandai yang berasal daripada 'Tanah Tidung, Bolongan' di Nunukan setelah memalsukan keterangan diri untuk mendapatkan taraf Anak Jati Sabah, dengan berbinkan, Dandai; maka tidak keterlaluan jika RCI akan dianggap sebagai 'Wayang Kulit' Najib jika melepaskan Samsudin yang rekodnya sudah sah; memperolehi kerakyatan Malaysia mengikut Seksyen 30 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Beberapa laporan polis dan RCI yang dibuat PKR, PAS dan UMNO sendiri terhadap 'Jati Diri' dan asal usul Samsudin sudah cukup untuk memberi amaran kepada Musa atau TYT jika berhasrat ingin melindungi Samsudin daripada siasatan RCI; atau terus mengekalkan perlantikan Samsudin sebagai Pengerusi Ko-Nelayan dan pemilihan beliau ADUN Sekong.
Dalam kekalutan ini, Samsudin tambah memberatkan isu kerakyatan songsang apabila membantu 'Gundiknya', Pia Binti Dahlan, PATI yang turut menumpang nama keluarga TYT; suatu perbuatan yang memalukan sehingga TYT bertindak memulaukan Samsudin daripada majlis keluarga di Istana, baru-baru ini.
Jika Musa sukar mencari calon pengganti Samsudin sebagai ADUN Sekong; matanya hendaklah diarahkan kepada deretan pemimpin UMNO di Batu Sapi; bukan sahaja yang muda belia; malah boleh mencalonkan Mantan Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Armani Mahirudin.
Ketokohan dan rekod bersih Armani akan mampu membantu Datin Linda Tsen jika dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi setelah berkhidmat cemerlang sejak dua tahun lalu.
Segala 'kudis buta dan sopak politik' yang merayap di batang tubuh Samsudin akan 'menjangkiti' Musa jika terus menerus memikul 'Kuda Belang' yang hanya layak dibuat haiwan mainan kerana tidak boleh ditunggang; malah Musa terpaksa memikul Samsudin sepanjang hayatnya dalam politik.
Menjelang PRU, Musa bukan sahaja perlu mencantas Samsudin, malah ADUN Sebatik, Haji Abdul Muis Picho yang sama taraf dan seangkatan dengan Samsudin jika tidak ingin rakyat bangkit marah di era RCI sebagai 'Judgement Day' bagi 'Warga Penyu'; bukannya meneruskan 'Gangnam Style' yang tidak memberi sebarang makna dalam politik Sabah.
Adalah amat malang jika Panel RCI yang dianggotai oleh 'Tokoh Hebat' yang mendapat perkenan DYMM Yang DiPertuan Agung akan mula memanggil 48 saksi (mungkin bertambah) memberi keterangan pada 14 Januari 2013; melalui prosiding 'Ala-Mahkamah' hanya berada di bawah telunjuk Samsudin dan Muis?
MyKAD.....Jika Samsudin boleh dipilih sebagai Wakil Rakyat semata-mata kerana memiliki IC Projek, maka gundiknya juga, Pia Binti Dahlan boleh menjadi Wakil Rakyat kerana tidak ada bezanya Pemandu Teksi dan Pemandu Kepala (Tukang Gunting Rambut).
Panel RCI yang diketuai Mantan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong sudah pastinya bersetuju bahawa Kerajaan harus memulakan siasatan dari dalam; iaitu menunjukkan keikhlasan dengan menggugurkan sesiapa sahaja yang disyaki atau dipercayai PATI yang mendapat kerakyatan songsang.
RCI tidak perlu bertanya saya atau mencari bukti dalam 'tong sampah'; sebaliknya mendapatkan rekod 'X-Files' daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen yang mempunyai 'locus standi'; kerana dua Jabatan yang dianggap 'Syaitan dan Iblis' oleh rakyat Sabah ini memiliki rekod yang tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah di dunia.
Jika telah jelas bahawa di dalam rekod JPN bahawa Samsudin dan Muis Picho memperolehi Kewarganegaraan mengikut Fasal 30 (3), maka mereka secara automatik tidak lagi layak menjadi Penggubal Undang-Undang di Sabah.
Fasal 30 (3) sudah lama wujud dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukan saya cipta sendiri; maka seharusnya tidak mengikut jejak langkah Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Integriti sebelum ini yang boleh diibaratkan mencari jarum di dalam rumput.
Menurut peruntukan Fasal 30 (3), MyKad berkenaan diakui diperolehi secara songsang atas arahan 'Tangan Ghaib' yang saya terjemahkan dalam buku saya, 'IC PROJEK Agenda Tersembunyi Mahathir?
Perlu diingat, Fasal 30 (3) menjelaskan bahawa; "Bagi maksud menentukan sama ada seseorang dilahirkan sebagai warganegara Persekutuan, apa-apa soal sama ada dia dilahirkan sebagai warganegara suatu negara lain hendaklah diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan dan perakuan Kerajaan Persekutuan mengenai soal itu adalah konklusif (melainkan jika dibuktikan bahawa perakuan itu telah didapati dengan cara fraud, nyataan palsu atau penyembunyian sesuatu fakta material).
Walaupun Perdana Menteri dengan restu Ketua Menteri Sabah melantik Anak Jati Sabah sebagai Pengarah JPN Sabah, namun tidak mempunyai kuasa autonomi dan eksekutif untuk melucutkan kerakyatan IC Projek kerana 'Hak Kerakyatan' berada di bawah jurisdiksi Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah JPN Malaysia.
Dalam hal ini, saya fikir Panel RCI tidak perlu banyak membuang masa untuk menulis lakon layar 'Kerakyatan Songsang Warga Penyu di Sabah' kerana boleh memanggil 'Dua Tokoh' bernyawa siluman Penyu iaitu Samsudin dan Muis Picho dan seorang lagi tokoh KDM yang mendapat kerakyatan songsang! (Maaf masih dirahsiakan); malah 15 Pegawai JPN yang pernah merengkok dalam tahanan ISA.
Merujuk kepada isu kepimpinan Samsudin, hanya PATI yang mendapat kerakyatan songsang yang masih menyokong beliau, manakala Anak Jati Sabah sudah meninggalkan UMNO untuk menyertai Pakatan Rakyat. Jika dibiarkan lebih lama lagi, UMNO Batu Sapi hanya akan tinggal 'Ketua Cawangan' dan Samsudin seorang; apatah lagi jika RCI mula menjalankan siasatan.
Walaupun terdapat peruntukan di bawah Ordinan Tafsiran Anak Negeri Sabah, untuk mereka memohon taraf Anak Negeri Sabah, namun mereka yang memalsukan keterangan diri seperti Samsudin dan Muis adalah pengkhianat kepada negara asal dan penderhaka kepada Malaysia yang memberikan suaka politik kepadanya.
Menurut peruntukan (Sabah Cap. 64) Interpretation (Definition Of Native) Ordinance;
2 (c) Mana-mana orang yang biasanya bermastautin di Sabah, adalah ahli Suluk, Kagayan, Sibutu atau 0rang Ubian atau pribumi kepada Negeri Sarawak atau Negeri Brunei, telah tinggal sebagai dan menjadi ahli asli masyarakat untuk tempoh berterusan selama tiga tahun sebelum tarikh tuntutan untuk menjadi asli, telah mempunyai akhlak yang baik sepanjang tempoh itu dan penginapan yang di Sabah tidak terhad di bawah mana-mana peruntukan Akta Imigresen 1959/63 [Akta155]:
2 (d) Mana-mana Orang yang biasanya bermastautin di Sabah, adalah ahli pribumi ke Republik Indonesia atau kumpulan kepulauan Sulu di Kepulauan Filipina atau Negeri-Negeri Malaya atau Republik Singapura, telah tinggal sebagai dan menjadi ahli komuniti asli untuk tempoh berterusan selama lima tahun sebaik sebelum tarikh tuntutan untuk menjadi asli, telah berkelakuan baik sepanjang tempoh itu dan penginapan yang di Sabah tidak terhad di bawah mana-mana peruntukan Akta Imigresen, 1959 /63 [Akta 155].
Sila rujuk Ordinan Lengkap
DI SINI.
Bagaimanapun oleh kerana status mereka adalah PATI yang mendapat kerakyatan haram, maka mereka tidak layak memohon status Anak Negeri Sabah; apatah lagi pengeluaran Sijil Anak Negeri Sabah telah dihentikan sejak 1984.
Selain daripada Samsudin dan Muis, Pembantu Menteri, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur perlu peka dengan Siasatan RCI kerana lebih 10 laporan rasmi telah dijuruskan kepadanya berhubung memberi suaka politik dan melindungi kerakyatan songsang kepada pegawai lantikan politik dan jawatankuasa UMNO Bahagian.
Apalah ertinya bersusah payah menjaga UMNO Silam jika 80 peratus ahlinya adalah PATI yang mendapat kerakyatan songsang dan dirinya dipanggil memberi keterangan sebagai saksi kerana menyaksikan akuan palsu beribu ahli UMNO; ramai di antaranya Ketua Cawangan; sehingga terlepas menjadi calon PRU-13?