Gelombang kebangkitan rakyat Sabah tidak lagi dapat ditahan-tahan, apatah lagi dengan wujud gerakan Pakatan Perubahan Sabah dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang kedua-duanya menyokong Pakatan Rakyat.
Malah, penggerak APS, Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing mengisytihar keluar BN keluar manakala peneraju PPS, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin meletak semua jawatan dalam Umno. Editor Suara Keadilan, Fazallah Pit menemu bual mereka secara berasingan bagi menyelongkar isi hati mereka.
Temu bual Lajim Ukin:
Apakah agenda sebenar Pakatan Perubahan Sabah (PPPS)?
Oleh kerana masa ini kita tidak ada parti berdaftar maka kita tubuhkan PPS. Dengan tujuan kita berjuang bersama-sama pembangkang sama ada dari Semenanjung atau Sabah. Kita sama-sama pertahankan hak-hak orang Sabah
Pakatan sedemikian akan mendokong perjuangan KEADILAN, PAS, DAP atau parti-parti pembangkang di Sabah. Kita memikir untuk mendaftar parti baru tetapi sudah banyak parti-parti yang didaftarkan. Difahamkan Sabah ada lebih 10 parti yang mengemukakan pendaftaran tetapi belum lulus.
Jika parti-parti tersebut lulus, kita akan menimbangkan parti mana pilihan kita dan kita akan terajui bersama.
Bagaimanakah senario sebenar gelombang kebangkitan rakyat di Sabah?
Sambutan rakyat Sabah cukup memberangsangkan. Saya mendapat maklum balas dari rakan-rakan di peringkat akar umbi bahawa rakyat pelbagai kaum inginkan perubahan. Terutamanya perubahan status kerajaan. Mereka ingin sebuah kerajaan baru ditubuhkan di Sabah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan dapat bertindak ke atas isu-isu yang amat menakutkan rakyat Sabah
Isu apakah yang menghantui rakyat hingga mahu menukar kerajaan sedia ada?
Isu utama adalah pendatang tanpa izin yang berleluasa. Tidak ada tindakan konkrit oleh kerajaan pusat. Ini kuasa kerajaan pusat. Oleh itu, kita harap kerajaan pusat berubah (dalam PRU). Dengan kerjasama kerajaan pusat baru, satu Suruhanjaya DiRaja perlu dibentuk untuk menyiasat kehadiran pendatang tanpa izin, termasuk pengeluaran kad pengenalan palsu atau diragui.
Kedua masalah pembangunan. Sabah masih ketinggalan jauh dalam semua aspek berbanding Semenanjung. Kita akan suarakan masalah ini sama ada oleh PPS atau Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan kerajaan pusat (yang baru) ambil perhatian serius mengenai masalah itu. Begitu juga segi agihan peruntukan prasarana luar bandar, pendidikan, kesihatan dan lain-lain yang masih ketinggalan jauh berbanding Semenanjung. Kita tidak cemburu. Tetapi kita telah puluhan tahun merdeka bersama-sama persekutuan, jadi tidak boleh ditinggalkan.
Bagaimana perubahan kerajaan boleh berlaku ketika terlalu ramai pendatang tanpa izin diberi kad pengenalan dan boleh mengundi?
Seluruh rakyat asal Sabah yang menjadi pengundi 800,000 orang. Jika semua turun mengundi, walaupun ada pertambahan (pengundi hantu) tetap tidak mengatasi pengundi asal Sabah. Orang asal Sabah perlu turun mengundi sehingga 80 peratus.
Mengapakah PPS dan APS tidak bergabung?
Itu satu identiti, PPS diketuai Bumiputera beragama Islam (manakala) APS untuk Bumiputera bukan Islam. Kita buat supaya ada persefahaman dan hala tuju masing-masing yang bermatlamat bekerjasama dengan Pakatan.
Rakyat Sabah tertanya-tanya mengapa apabila hampir PRU, baru kerajaan Persekutuan umum siasat IC palsu?
Itulah yang mengecewakan rakyat Sabah. Di saat-saat akhir baru ada penubuhan Suruhanjaya DiRaja, pengumuman air dan sebagainya. Kenapa sekarang? Bukan 10 atau 20 tahun lepas. Kita merdeka sudah lebih 50 tahun. Sabah dan Sarawak sama-sama membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
Ada pihak mempertikai mengapa sebelum ini tidak bawa masalah Sabah di Parlimen?
Di pihak kerajaan saya tidak boleh menyuarakannya (di Parlimen) sebab saya Timbalan Menteri, sebahagian kabinet persekutuan. Tetapi dalam majlis tertentu, dalam MT Umno atau dalam perhimpunan tertentu saya suarakan.
Bila saya lantang, maka saya dianggap penentang kerajaan. Pada saya, apa yang disuarakan itu sesuatu yang perlu diselesaikan oleh kerajaan kerana mereka ada kemampuan. Misalnya ketiadaan bekalan air, elektrik sering terputus, jalan raya belum sempurna dan lain-lain.
Maknanya semua saluran menyuarakan masalah dari dalam kerajaan sudah tertutup?
(Mungkin) ada tapi nampaknya agak perlahan. Terdapat anggapan Sabah deposit tetap dan sokongan tidak akan berubah (walaupun masalah tidak selesai) tetapi pada kita kalau simpan fix deposit di bank dan kadar faedah turun, maka kita kena tukar ke bank yang lain. Begitulah jika Sabah dianggap simpanan tetap.
Kalau dianggap penyumbang kekuatan BN di peringkat persekutuan, maka seharusnya kita diberi perhatian yang lebih menyeluruh mengenai masalah yang dihadapi rakyat.
Bagaimana rakyat yakin kepada PPS sebab sejarah Sabah mengalami banyak pertukaran kerajaan?
Rakyat sudah buat keputusan lebih awal. Contohnya di kawasan saya ada ketua cawangan, malah yang masih pegang jawatan dalam kerajaan sudah lebih awal sertai KEADILAN. Ada yang bayar RM200 ahli seumur hidup. Maknanya rakyat peringkat akar umbi sudah tahu menilai apa sepatutnya mereka lakukan untuk kebaikan Sabah dan generasi akan datang
Harapan jika Pakatan memerintah Sabah dan Persekutuan?
Dalam buku ‘Hala tuju Aspirasi Rakyat Sabah’ jelas ada tuntutan yang dikemukakan rakyat. Itu kita akan kemukakan kepada kerajaan (pusat) baru, supaya bukan sahaja mereka teliti, tetapi mereka ambil tindakan dalam tempoh yang sepatutnya. Kita yakin kerajaan pusat lebih banyak kuasa daripada kerajaan negeri (realisasi tuntutan). Kerajaan harus prihatin akan kehendak rakyat Sabah
Perubahan di peringkat negeri banyak berlaku tetapi di peringkat pusat tidak pernah. Sejauh mana ia realistik?
Banyak negara yang merdeka hampir sama dengan Malaysia telah berubah. Di Indonesia, Golkar jatuh, di India Parti Kongres jatuh, parti LDP Jepun pun jatuh. Di Singapura dalam PRU yang lepas agak membimbangkan. Tidak hairan di negara kita rakyat sudah matang, terutama di kalangan generasi muda, mereka ingin membentuk kerajaan yang betul-betul menjiwai rakyat
Perlu satu dasar konkrit melibatkan generasi muda, wanita dan seluruh rakyat . Kita akui Malaysia pelbagai kaum; ada Melayu, India, Cina dan Orang Asli. Di Sabah ada lebih 31 suku kaum. Aspirasi mereka perlu diambil kira.
Mungkihkah lebih ramai ahli politik Sabah akan sertai PPS?
Banyak yang akan sertai kita termasuk yang masih pegang jawatan. Tetapi mereka maklumkan kepada saya supaya lancar PPS dulu kemudian satu demi satu akan sertai kita. Termasuk bekas-bekas wakil rakyat dan pemimpin di peringkat negeri, kawasan juga pesara kerajaan yang sedia membantu.
No comments:
Post a Comment