Sunday, 12 August 2012

Suruhanjaya Diraja kaji isu pendatang asing Sabah hanya gimik pilihan raya


KUALA LUMPUR: Pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung masalah pendatang di Sabah hanya gimik pilihan raya, kata Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.
“Ada pemimpin Sabah mendakwa kerajaan bersetuju dengan RCI tapi pengumumannya ditangguh berkali-kali.
“Menjelang PRU 13, Umno BN sedar akan kegelisahan penduduk Sabah, justeru tiada pilihan lain kecuali melayani tuntutan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada kenyataan media bersama Ahli Parlimen Tawau, Datuk Chua Soon Bui (SAPP) dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Hiew King Cheu.
Tian berkata, pengumuman Datuk Seri Najib Razak untuk menubuhkan RCI itu pada Februari lalu tidak diiringi butiran lanjut.
“Kerajaan tiada kesungguhan untuk selesaikan isu pendatang tanpa izin kerana mereka jadi alat untuk mengundi Umno BN,” katanya.
Peningkatan mendadak pendatang asing pada 1980-an dan 1990-an mengakibatkan perubahan besar demografi di Sabah. Dipercayai satu pertiga penduduk negeri itu ialah pendatang asing.
Mereka diberi kad pengenalan dan didaftar sebagai pengundi melalui ‘Projek IC’ yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kebanjiran pendatang asing mengakibatkan ketegangan dalam masyarakat. Ia bertambah parah dengan sikap tidak acuh BN,” katanya.
Selain Pakatan Rakyat, parti komponan BN dan parti politik Sabah seperti Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) menggesa siasatan menyeluruh.
Sejak 2009, Pakatan mendesak penubuhan RCI untuk menangani masalah berkaitan pendatang asing i Sabah dan ia dimaktubkan dalam Buku Jingga.

No comments:

Post a Comment