Saturday, 29 September 2012

Lajim selar imbuhan yang hanya diberikan kepada kakitangan kerajaan sahaja Bajet 2013, kenapa penjawat swasta dianaktirikan?


KOTA KINABALU: Pengerusi Pakatan Perubahan Sabah (PPS), Datuk Seri Panglima Lajim Ukin menyelar pengumuman pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri yang disifatkannya menganaktirikan penjawat swasta.

Menurut Lajim, Bajet 2013 kali ini bukan sahaja menyebabkan penjawat swasta di seluruh negeri terasa dipinggirkan malah dinafikan hak merasai nikmat yang sepatutnya diagihkan secara adil dan saksama.

"Lebih 1.3 juta penjawat awam akan mendapat bonus sebulan gaji manakala pesara kerajaan pula bakal menerima RM500, jadi dimanakah imbuhan kepada penjawat swasta?

"Kalau diikutkan, penjawat swasta turut memainkan peranan penting dalam menjaga kestabilan ekonomi negara sedia ada dan merupakan pengundi, jadi adalah tidak bijaksana sekiranya kita meminggirkan mereka (penjawat swasta), "katanya.

Lajim menambah adalah lebih baik sekiranya bajet kali ini membahagikan hak sama rata ekoran alasan Perdana Menteri bahawa pemberian bonus berkenaan adalah untuk mengurangkan beban penjawat awam terutamanya yang berkeluarga serta menghadapi musim persekolahan pada Januari tahun 2013.

"Adalah lebih baik sekiranya Perdana Menteri memikirkan nasib penjawat swasta seperti pengurangan kadar cukai yang dikenakan terhadap syarikat atau majikan bukan berpaksi kepada kroni.

"Seperti mana dikatakan tadi, langkah sebegini dilihat sebagai tidak adil kepada penjawat swasta memandangkan mereka juga adalah penentu kepada penubuhan kerajaan bukan tertakluk kepada kakitangan awam sahaja, "jelasnya ketika dihubungi kelmarin.

Mengulas lanjut sedikit mengenai pembangunan di Sabah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewajarnya mengambil langkah bijak mengatasi kekurangan infrastruktur seperti keperluan bekalan air bersih dan elektrik.



"Seperti mana pengumuman dalam Bajet 2013 mengatakan 40,000 tangki air akan dibekalkan di pedalaman Sabah-Sarawak namun sekiranya tiada bekalan air bersih apa gunanya?, "katanya.

No comments:

Post a Comment