Wednesday, 6 March 2013

Gesa Najib pastikan kedaulatan wilayah negara, keselamatan rakyat Sabah dan pasukan keselamatan


Setiap pimpinan mana-mana negara sekalipun bertanggungjawab mempertahan kedaulatan wilayah negara, keselamatan rakyat dan anggota pasukan keselamatan.
pcKegagalan mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat merupakan satu pengkhianatan serta menodai amanah rakyat. Justeru Pakatan Rakyat berhasrat mengingatkan pimpinan negara agar tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara dan tidak alpa memastikan keselamatan setiap rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah ekoran dari insiden pencerobohan sekumpulan bersenjata warga asing di sekitar Lahad Datu serta Semporna. Setiap inci tanah Sabah dan keselamatan rakyatnya wajib dipertahankan.
Pencerobohan di Lahad Datu telah mengorbankan dua nyawa perwira negara manakala insiden terbaru di Semporna pula mengorbankan enam nyawa perwira negara. Kita merakamkan ucapan takziah buat keluarga mereka dan rakyat Sabah serta berdoa moga roh mereka dicucuri rahmat.
Pakatan Rakyat juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk tetap teguh mendokong pasukan keselamatan, samada dari pihak polis atau tentera. Kita berdoa moga mereka kekal selamat serta bersemangat mempertahankan negara dan rakyat Malaysia dari ancaman penceroboh.
Pakatan Rakyat sedar keadaan mutakhir di Sabah sememangnya menimbulkan kebimbangan, akan tetapi kita menyeru agar orang ramai tetap bertenang dan tidak mengambil tindakan terburu-buru atau menyebarkan berita-berita fitnah yang boleh menimbulkan keresahan. Pakatan Rakyat ingin menyatakan dengan jelas keyakinan kita terhadap kecekapan dan kebolehan anggota pasukan keselamatan. Mereka pastinya dapat menjalankan tugas dengan profesional sekiranya diberi kebebasan bertindak tanpa sebarang campurtangan politik.
Sehingga kini, kita merasa kesal dan kecewa dengan sikap kepimpinan negara yang tidak mempamerkan kewibawaan dan iltizam dalam menyelesaikan masalah ini. Pimpinan negara juga gagal menyalurkan maklumat tepat, cepat dan telus serta memberikan penjelasan terhadap apa yang berlaku kepada umum sehingga menyebabkan khabar angin tersebar luas.
Pakatan Rakyat menggesa supaya isu ini tidak dijadikan arena tuduh-menuduh dan sewajarnya kepimpinan negara memberi tumpuan kepada isu keselamatan negara serta tidak mengalihkan pandangan rakyat dari kelemahan mereka. Sewajarnya mereka menyedari, keutamaan adalah demi mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan rakyat dan perwira negara yang bertungkus lumus di perbatasan.
Pakatan Rakyat menuntut agar segera diadakan satu sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu pencerobohan ini serta demi untuk mendapatkan gambaran sebenar insiden yang tercetus di Sabah. Kita juga berhasrat mengadakan satu persidangan meja bulat di antara pimpinan Pakatan Rakyat dengan pimpinan kerajaan dalam usaha untuk mencapai muafakat bersama berhubung isu ini.

No comments:

Post a Comment