KEMABONG TENOM : Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai tidak prihatin kepada masalah serta bebanan rakyat kerana terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi terutamanya keperluan asas seperti minyak petrol dan barangan runcit yang lain.
Beliau berkata, melihat keperitan hidup rakyat yang semakin tertekan kerana masalah itu, mendorong beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya harga minyak diturunkan namun Perdana Menteri bimbang kononnya negara akan muflis jika ia diturunkan.
“ Kita tak faham kenapa kerajaan lantas sahaja berkata negara akan muflis jika setiap benda yang pembangkang cadangkan demi kebaikan rakyatnya diberi jawapan yang negatif,sedangkan minyak, gula dan lain lain keperluan terus naik tetapi kerajaan membiarkan ini berlaku.
“ Sebaliknya, tanah adat (NCR) hak rakyat diambil mereka, balak dan saham hilang entah kemana perginya,menjadikan rakyat hidup merana.
“ Sebagai Perdana Menteri atau Ketua Menteri harus memikirkan secara meluas dan jangka panjang kesan tindakan seperti itu kepada anak cucu cicit dari kepelbagaian kaum di negara ini,” kata beliau semasa program ceramah perdana di Kg Kalibatang Lama Tenom yang dihadiri lebih dari 1,000 orang
Hadir sama Pengerusi (PPPS) Sabah Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin, Ketua AMK PKR Nasional Shamsul Iskandar, Bekas Wakil Rakyat Kuala Penyu Datuk John Ghani, Datuk Karim GhaniDatuk James Ghani, Dr Chong Eng Leong, Sophia Leong Chau Chu dan Biyou Suyan.
Ketua Pembangkang itu yang juga merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nasional dan Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, tidak ada cara lain lagi untuk memperbetulkan kecacatan pentadbiran negara masa kini yang diterajui BN-UMNO selain dari menumbangkan mereka pada pilihanraya umum kali ke-13 (PRU-13) akan datang ini.
Tegasnya lagi, jika rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya selepas PRU-13, beliau yakin bahawa PR mampu melakukan yang terbaik untuk menerajui kerajaan baru dengan lebih sempurna sepertimana berlaku kepada negeri negeri yang ditadbir pembangkang khususnya Selangor dan Pulau Pinang.
Beliau mengambil contoh bahawa selepas PR mengambil alih kerajaan negeri Selangor pada tahun 2008 (PRU-12) langkah utama dilakukan ialah menstrukturkan semula pengurusan bekalan air dimana rakyat Selangor menempah sejarah menikmati bekalan air secara percuma sehingga sekarang.
“ Bukan setakat itu sahaja...malah setiap pelajar masuk Universiti dapat bantuan sebanyak RM1,000. Ibu yang melahirkan anak mendapat bantuan RM200 iaitu sama dengan Pulau Pinang kerana ia telah menjadi dasar kerajaan PR yang telus dan ikhlas.
“ Kita bukan janji kosong tetapi PR kotakan janjinya dimana diSabah juga akan menikmati semua janji ini jikalau Sabah ditadbir PR selepas PRU-13 kelak,” tegas beliau disambut dengan sorakan hadirin.
Melihat senario itu, Najib sehingga sekarang tidak berani membubarkan Parlimen sepertimana yang sering dicanangkannya dipentas pentas ceramah umum UMNO-BN sebelum ini untuk menghadapi rakyat pada PRU-13 bagi mendapat mandat bari secara demokrasi, jelas Anwar.
Dalam pada itu, Dato'Seri Anwar yakin akan dapat menumbangkan kerajaan BN yang ditunjangi UMNO pada PRU-13 berdasarkan pemerhatiannya ketika program turun padang berceramah diseluruh negara telah mendapat sambutan yang diluar jangkaan kerana rakyat telah bosan dengan keadaan sekarang lantas mahukan perubahan.
Secara berseloroh beliau berkata, “ Nampaknya selepas PRU-13 kita lantik Najib jadi Ketua Pembangkang yang baru (atau)...kalau tidak pun kita lantik sebagai Duta Besar Malaysia ke negara Monggolia,” ujarnya.
Anwar Ibrahim Pakatan Rakyat (PR) Mampu Urustakbir negara |
Pengerusi PPPS Sabah Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin yang turut hadir ke majlis tersebut bersalaman dengan orang ramai yang menyembut kedatangan beliau |
No comments:
Post a Comment