DIPETIK DARI SABAH KINI
Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak |
KOTA KINABALU : Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak yakin rakyat bijak menilai serangan 'politik peribadi' Datuk Seri Lajim Ukin terhadap kepemimpinan UMNO peringkat negeri sejak kebelakangan ini.
Tegas beliau pelbagai dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan Lajim terhadap kepimpinan UMNO lebih bersifat 'dendam politik dan agenda peribadi' menjelang pilihan raya umum ke-13 yang semakin hangat sekarang.
“Isu-isu yang dibangkitkan oleh Lajim dalam temuramah itu bukan perkara baru, tetapi cuba dicanang semula untuk tujuan 'political mileage' dan sebagai justifikasi menyertai Pembangkang.
“Perkara yang dibangkitkan itu adalah sesuatu yang lumrah disuarakan oleh mereka yang bergelar pembangkang, tujuannya untuk mencipta isu (create issues) memburuk-burukkan pemimpin dan kerajaan bagi mendapatkan simpati dan meraih sokongan politik”, katanya kepada UMNO-Online sebagai mengulas serangan Lajim terhadap kepimpinan UMNO dalam temuramah bersama 'Sinar Harian' pada Isnin lepas,
Jelas beliau lagi dakwaan mengenai politik cantas-mencantas adalah satu tanggapan Lajim semata-mata.
“Dalam konteks UMNO, keputusan akhir terserah kepada Presiden Parti dengan mengambil kira pelbagai aspek. Dalam konteks Sabah, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Hj Aman merupakan seorang yang bersikap terbuka untuk perbincangan, baik soal politik mahu pun isu pembangunan.
“Dalam soal pembangunan, Lajim yang pernah dalam kerajaan tentu memahami mengenai prosedur dan tatacara pelaksanaannya yang bukan boleh dibuat dalam sekelip mata, tetapi melalui peringkat proses demi proses sebelum projek itu sampai kepada rakyat”, ujarnya.
Mengenai isu royalti minyak untuk Sabah, beliau yang juga Speaker DUN Sabah berkata kerajaan negeri dan Ketua Menteri telah membuat kenyataan mengalu-alukan perbincangan terbuka mengenai perkara tersebut.
“Kerajaan negeri sudah tentu mengharapkan manfaat yang lebih besar, tetapi kita kena akur juga mengenai sumbangan kerajaan Pusat dalam bidang-bidang lain, selain mengambil kira kepentingan dan kesamaratan dalam sebuah Persekutuan.
“Rakyat Sabah mahukan kestabilan politik Negara dan terus menikmati hasil pembangunan dan transformasi yang dilakukan oleh Kerajaan”, katanya.
Justeru beliau percaya Datuk Seri Najib adalah pilihan Rakyat Sabah untuk terus menjadi Perdana Menteri Malaysia.
No comments:
Post a Comment