Oleh: Zai
. LAJIM UKIN....... Tidak timbul isu " Pilih Bulu" dalam pemilihan calon Pakatan Rakyat
|
PUTATAN: Presiden Pakatan Perubahan Sabah (PPS), Datuk Seri Panglima Lajim Ukin ( gambar ) menafikan dakwaan wujudnya isu 'pilih bulu' berhubung pemilihan calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke - 13 (PRU13) di negeri ini.
Beliau dengan lantang menidakkan tuduhan terbabit yang muncul daripada beberapa bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertindak keluar parti ekoran tidak berpuas hati kerana pucuk pimpinan lebih bergantung kepada PPPS dan rakan sewajat mereka, Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang diterajui oleh Datuk Wilfred Bumburing.
Sambil mempersoalkan dakwaan berkenaan, Lajim menyifatkan pucuk pimpinan PKR sebenarnya telah melakukan pemilihan calon adalah berdasarkan kredibiliti prestasi mereka dan sehubungan itu, isu pilih bulu tidak sepatutnya timbul.
Saya ingin tanya semula kepada mereka, banyak calon-calon bukan dari PPPS dan APS.
"Di Kota Belud misalnya, Ketua Srikandi PKR Sabah, Isnaraissah Munirah Majilis menjadi calon bagi Pakatan Rakyat bagi kerusi Parlimen P169 dan adakah Ketua Cabang PKR bertanding?
"Kenapa dia (Ketua Cabang) tidak bertanding? Ini kerana pucuk pimpinan melihat kepada prestasi mereka sama ada layak dijadikan calon ataupun sebaliknya.
"Bagi saya, mereka ini berjuang hanya semata-mata ingin menjadi calon dan sekiranya menang, maka mereka akan gunakan jawatan ini untuk menjadi kaya raya, "katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sejurus menghadiri ceramah bagi program Pakatan Rakyat di Ketiau dekat sini malam kelmarin.
Hadir sama, calon-calon Pakatan Rakyat bagi kerusi Parlimen P173 Putatan, Jospeh Lee (DAP/Pakatan Rakyat), Hamid Ismail (PAS/Pakatan Rakyat) calon N17 Tanjung Aru dan Mat Yunin Atim (PKR/Pakatan Rakyat) untuk kerusi N18 Petagas.
Antara intipati ceramah kesemua penceramah adalah mengetengahkan manifesto Pakatan Rakyat sekiranya diberi mandat memerintah termasuk bantuan RM1,000 kepada warga emas, peluang pekerjaan kepada golongan belia dan isu-isu tempatan.
Mengulas lanjut mengenai isu empat Ketua Cabang PKR termasuk seorang timbalan Ketua Cabang pada Khamis lalu, Lajim berkata beliau sudah menjangkakan perkara itu dan mendakwa kesemua mereka telah disogok dengan habuan bagi melakukan perbuatan demikian.
"Setahun dahulu sebelum saya menyertai PPPS, telah diberitahu oleh adik saya (Ramli Ukin) yang kini juga menyertai Barisan Nasional (BN) bahawa ada enam Ketua Cabang akan keluar parti sekiranya tidak dipilih sebagai calon.
"Tiap-tiap bulan mereka akan menerima RM2,000 daripada Umno dan ini telah diberitahu sendiri oleh adik saya, "katanya sambil menyifatkan kehilangan pemimpin seperti itu tidak membawa sebarang kesan kepada perjuangan Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU13 di negeri ini.