Thursday 25 April 2013

PERTANDINGAN TIGA PENJURU DI PARLIMEN BEAUFORT

Oleh: Su Yen




Lajim dan Johan diiringi ribuan penyokong menuju ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Masyarakat
Pa' Musa Beaufort


Lajim melambaikan tangan kepada penyokongnya selepas selesai pengumuman calon 
BEAUFRT : Kerusi ‘panas’ Parlimen Beaufort dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan parti dari Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Reformasi Negeri (STAR)


   Pertembungan kali ini lebih menarik apabila dua tokoh masing-masing anak tempatan iaitu, Datuk Azizah Mohd Dun yang mewakili BN akan menentang wakil daripada PKR yang juga penyandang kerusi kawasan P177 itu, Datuk  Seri Panglima Haji Lajim Ukin.

   Manakala, STAR menamakan calonnya, Guan Dee Bin Koh Hoi yang sebelum ini merupakan bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Kuala Penyu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) tahun 2008 lalu.

   Kira-kira pukul 11.35 pagi, ketiga-tiga mereka sudah disahkan layak menjadi calon oleh Pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di pusat penamaan calon yang diadakan di Dewan Pa’ Musa, di sini,

   Dalam pada itu, perebutan bagi kerusi DUN Klias menyaksikan calon muka baru BN yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Isnin Aliasnih mendapat tentangan calon daripada tiga parti iaitu PKR, SAPP dan STAR bagi kawasan itu.

   Paling menarik, Datuk Lajim Ukin yang juga calon PKR bagi kerusi Parlimen Beaufort turut bertanding di kawasan N.25 itu, manakala SAPP menamakan Mohd Sanusi Taripin sebagai calon dan Aliapa Osman mewakili parti STAR.

   Sementara itu, DUN Kuala Penyu menyaksikan pertandingan 5 penjuru dengan dua calon bebas masing-masing berlambangkan Kunci dan Jam iaitu Jasbian Kenneth dan Md Tajuddin Md Walli, manakala STAR diwakili Inning Sinteh @ Alexander Siatin.

   Bagaimanapun, perebutan kawasan itu sudah pasti lebih menumpukan kepada dua individu iaitu calon muka baru BN, seorang ahli perniagaan  Limus Jury yang akan ditentang tokoh politik veteran, Datuk John Ghani daripada PKR.

   Berikutan kehadiran ramai penyokong mengiringi calon parti masing-masing pada hari penamaan yang diadakan itu, ke semua calon terlibat, optimis akan memenangi undi rakyat pada hari pengundian 5 Mei depan.

Meriah Penyokong Lajim dan Johan dengan bendera PKR berkumpul di Padang Pekan Beaufort semasa menunggu
proses penamaan calon selasai 

  Dalam pada itu, Lajim yang ditemui berkata, beliau yakin PKR akan memenangi kerusi Parlimen Beaufort dan dua DUN di kawasan itu dengan majoriti lebih besar berbanding sebelumnya berikutan sokongan padu yang telah diberikan rakyat selama ini.

   “Pertandingan tiga dan empat penjuru masing-masing di Parlimen Beaufort dan DUN Klias sebenarnya membuka peluang lebih besar kepada saya untuk terus mempertahan dan memenangi kedua-dua kerusi yang saya tandingi ini.

   “Berbanding calon BN dan parti lainnya, saya mempunyai ‘track record’ yang baik kerana saya berjuang bukan untuk kepentingan peribadi atau politik, perjuangan ini adalah untuk rakyat yang saya wakili.
   “Hanya rakyat yang layak menilai segala usaha yang telah saya bawa dan laksanakan di kawasan ini kerana perjuangan kita berpegang teguh kepada ‘kuasa rakyat’,” tegasnya.

   Parlimen Beaufort mempunyai seramai 30,113 pengundi terdiri daripada 15,337 pengundi bagi kerusi N25 Klias dan 14,776 pengundi di kawasan N.26 Kuala Penyu.

Taat Setia Penyokong Pakatan Rakyat sanggup berdiri dan berpanas bagi memberikan sokongan moral
kepada calon calon Pakatan Rakyat yang bertanding 

   Sementara itu calon BN bagi DUN Klias, Isnin Aliasnih yang menyifatkan kawasan itu merupakan kubu kuat BN dan seluruh jentera terdiri daripada komponen BN akan memastikan pengundian pada 5 Mei depan, berpihak kepada parti itu.

   Bagi calon BN DUN Kuala Penyu, Limus Jury, walaupun dianggap sebagai individu yang baru berjinak-jinak dalam dunia politik, namun beliau tetap optimis akan terus mempertahankan kerusi N.26 itu meski pun pencabarnya Datuk John Ghani adalah ‘nama besar’ dalam politik Sabah.

Lajim bersama pencadang dan penyokong ketika mengemukakan kertas pencalonan 

   Sementara itu, Datuk John Ghani berkata, pertandingan 5 penjuru di kawasan N.26 itu tidak langsung menjejaskan peluang PKR untuk merampas kerusi berkenaan daripada BN dalam PRU13 ini kerana rakyat sudah muak dengan kepimpinan BN selama ini.
Azizah ,Isnin dan Limus bersama penyokong BN selepas penamaan calon selasai 


   “Sokongan kepada PKR sedikit pun tidak terjejas walaupun BN meletak muka baru (Limus) untuk terus mempertahankan kawasan ini kerana rakyat sudah nekad, malah mempunyai satu tujuan iaitu tumbangkan BN serta menukarnya kepada kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

   “Justeru, saya menyeru seluruh rakyat khususnya di kawasan Parlimen Beaufort untuk terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada semua calon PKR dalam PRU13 ini bagi meraih kemajuan dan pembangunan yang lebih mapan,” katanya ketika ditemui.

No comments:

Post a Comment